, ,

Penjelasan - Kisah Toyol di tangkap, Budak 10 tahun terlibat 23 kes kecurian !


PETALING JAYA : Dia bukan anggota geng kongsi gelap, bukan penyamun, jauh sekali  perompak. Kalau dilihat dari luaran dia hanyalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Namun, siapa sangka dalam usia semuda itu dia mendapat gelaran Raja Toyol selepas terbabit dalam tidak kurang daripada 23 kes kecurian membabitkan kes pecah rumah, kecurian tabung masjid  dan kedai runcit  di kawasan Kampung Sungai Ara, Damansara, di sini, sejak setahun lalu.

Meskipun sudah acap kali ditangkap penduduk kampung kerana mencuri, bahkan pernah dibelasah kerana perbuatannya itu, budak lelaki yang sudah tidak bersekolah ini tidak serik,  malah bertambah aktif seolah-olah mencuri menjadi kerjaya sepenuh masanya.

Difahamkan kanak-kanak  ini hanya  memerlukan tempoh yang singkat untuk melarikan wang yang disimpan di dalam rumah tanpa disedari oleh pemiliknya. Sudah beribu ringgit masuk ke sakunya.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Sungai Kayu Ara, Ramli Daud berkata, kanak-kanak  itu  pernah diserahkan kepada polis tetapi dibebaskan semula kerana dia di bawah umur.

“Dia bergerak seorang diri di dalam kampung dan sasaran utamanya adalah wang.

“Baru-baru ini dia pernah ditangkap  dan apabila ditanya ke mana wang curi itu dibelanjakan, dia dengan selamba memberitahu wang itu digunakan untuk berhibur di pusat siber. Saya  yakin dia berkawan dengan budak yang lebih besar dan di situlah wang itu dibelanjakan,” katanya.

Menurut Ramli, kanak-kanak ini melakukan kerja tidak kira siang ataupun malam. Jika ada peluang dia akan masuk ke dalam rumah sesiapa sahaja tanpa disedari.

“Dia akan sasarkan wang yang disimpan di dalam rumah, tidak kira di dalam poket seluar, almari mahupun laci.
“Peliknya dia boleh tahu di mana wang itu disimpan dan dengan  tubuhnya yang kecil dia boleh masuk ikut  lubang kecil selain tahu membuka gril pintu rumah,” katanya.

Jelas Ramli lagi, masalah itu sukar diselesaikan kerana keluarga kanak-kanak ini langsung   tidak mengambil berat  terhadapnya.
“Dia anak ketujuh daripada lapan adik-beradik dan tinggal  bersama ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Keluarganya  sudah lali dengan cerita kanak-kanak itu ditangkap.

“Ramai yang nasihat ayahnya supaya tidak membiarkan anaknya terus begitu, tetapi tidak diendahkan,” katanya.

0 comments:

About