, ,

MENARIK : PELACUR PELAJAR SEKOLAH, BERMODALKAN RM2, RAIH RM18000 SEBULAN

Bermodalkan RM2 untuk melayari Internet yang sepatutnya digunakan untuk belanja harian persekolahan, remaja ini mampu meraih RM18,000 sebulan dengan hanya menggoda lelaki hidung belang yang dahagakan belaian mesra gadis bawah umur menerusi perkenalan di FB.

Itu yang dilakukan Tina, 17, untuk hidup selesa dan mampu memakai pakaian berjenama, memiliki peralatan komunikasi canggih seperti anak orang kaya walaupun usianya ketika itu baru 13 tahun. 

Gadis berasal dari utara tanah air ini dapat hidup bebas selepas melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan menerima teguran dan leteran keluarga berikutan sikap liarnya. 

Peluang itu digunakan Tina untuk memanfaatkan persahabatan singkat dengan lelaki bekerja di tapak pembinaan dikenali secara on-line, Fendi, 20-an, dan sanggup mengambil risiko tinggal bersama lelaki itu selama lima bulan. 

Sanggup membelakangkan keluarga dan ponteng sekolah, tindakan Tina seolah-olah 'keluar kandang harimau, masuk mulut buaya' apabila rumah yang dihuninya turut menjadi 'port' lepak 10 lelaki setiap hari. 

"Saya pasti keluarga melaporkan kehilangan saya kepada polis, justeru Fendi menasihatkan supaya saya tak keluar dari rumah dan segala makan pakai saya diuruskannya. Sebagai balasan, saya memberikan layanan seks kepada Fendi. 

"Tiada paksaan ketika kali pertama melakukan hubungan luar nikah, malah kami sama-sama seronok. Tidak cukup dengan itu, saya memberi khidmat seks kepada rakan Fendi yang duduk serumah mahupun sekadar datang melepak di kediaman berkenaan. 

"Namun saya tak bodoh, sebaliknya layanan seks hanya akan diberi jika mereka setuju membayar. Paling banyak RM60, paling sedikit RM30. 

"Fendi yang kononnya kekasih saya ketika itu tak pernah melarang, bahkan lebih gembira kerana saya boleh memberinya wang untuk menampung makanannya," katanya kepada Metro Ahad. 

Menurut Tina, selama tempoh itu, dia tidak pernah keluar dari rumah berkenaan dan mampu melayan sekurang-kurangnya 10 lelaki setiap hari. 

Secara purata, gadis hingusan ini mampu meraih RM18,000 sebulan jika dia mengenakan bayaran RM60 satu sesi dan melayan 10 lelaki dalam sehari. Jika 'bekerja' berterusan selama 30 hari, Tina tiada masalah meraih pendapatan sebanyak itu. 

Selepas bosan selain memiliki sikap enggan dikongkong, Tina membuat keputusan keluar dari 'penjara ciptaan' itu dan menghubungi teman rapatnya bagi menemaninya membeli-belah menggunakan duit haram itu. 

Namun, kegembiraan untuk membeli barangan, pakaian, telefon bimbit berjenama berakhir apabila Tina bertembung dengan polis sebelum dibawa ke balai berdekatan. 

Pertemuan dengan keluarga yang menangisi kehilangannya di balai polis berkenaan gagal menimbulkan keinsafan di hati Tina, sebaliknya dia sibuk mencari jalan untuk lari semula selepas pergerakannya dikawal ketat. 

"Saya dikurung keluarga, namun saya lebih licik melarikan diri untuk kali kedua. Berbekalkan wang tabungan sebanyak RM500, saya melompat dari tingkat dua rumah dan nasib baik tidak cedera. 

"Kemudian, saya ke kafe siber membuka akaun FB dan berbual dengan mana-mana lelaki dengan berkesudahan mereka meminta saya menemani mereka. 

"Bertemu di lokasi ditetapkan, dengan penampilan menarik meskipun berusia 13 tahun, 'dating' ekspres itu pasti diakhiri di bilik hotel. 

"Sekali perkhidmatan, saya mengenakan bayaran maksimum RM60. Selalunya pelanggan tidak kira keturunan dan peringkat umur itu akan menempah bilik hotel sekurang-kurangnya tiga hari, jika perlu, mereka akan datang mendapatkan layanan saya. 

"Selepas habis tempoh itu, saya kembali ke kafe siber untuk mendapatkan pelanggan seterusnya. Perkara ini berlangsung hampir setahun sepanjang tempoh saya melarikan diri dari rumah," katanya yang ditemui di Baitul Islah, Bukit Beruntung, Selangor. 

Enggan menyalahkan sesiapa, Tina mengakui kehidupan mewah dijalaninya pernah satu ketika memberi kepuasan tersendiri, apatah lagi dia mampu memiliki barangan berjenama tanpa perlu mengharapkan wang daripada keluarga, yang sememangnya mustahil kerana dia dibesarkan dalam kehidupan serba-serbi tidak mencukupi. 

Malah, katanya, dia tidak memasuki pusat pemulihan itu dengan rela hati, sebaliknya dihantar keluarga selepas gagal mengawal tingkah laku liarnya. 

"Saya berada di sini hampir tiga tahun dan banyak ilmu agama saya pelajari. Syukur, saya masih diberi peluang untuk membaiki diri biarpun pernah terjerumus di lembah maksiat. 

"Namun, masih banyak perlu saya pelajari untuk mengenali Allah SWT. Saya juga belum kuat untuk keluar berdepan masyarakat, bimbang diri lemah ini kembali ke jalan salah," katanya mengakhiri perbualan.

0 comments:

About