Berita Terkini : Penyokong Morsi sedia sambut hari raya di dataran-dataran seluruh Mesir


MESIR: Perhimpunan menolak rampasan kuasa serta mendesak Presiden sah Dr Muhammad Morsi dibebaskan yang bermula selepas solat Jumaat semalam menyaksikan sekali lagi lautan manusia memenuhi wilayah Kaherah.

Dianggarkan puluhan juta keluar menyertai himpunan tersebut semalam yang bertumpu di beberapa kawasan termasuk di Dataran Raba'ah yang menjadi pusat himpunan.

Selain Raba'ah, tempat-tempat lain termasuk Dataran Nahdhah di hadapan Universiti Kaherah, Giza, Ramsis, Istana Ittihadiyyah, Iskandariyyah dan Almenia, Qina, Aswan, Asyut dan di Fayoum.

Menjelang solat Jumaat, Khutbah membakar semangat di Dataran Raba'ah disampaikan Timbalan Menteri Wakaf Dr.Jamal Abdul Sattar.

Dianggarkan lebih 3 juta penyokong memenuhi Dataran Raba'ah semalam.

Kemudian selepas itu, pentas Raba'ah menyaksikan ucapan-ucapan bersemangat menuntut pembebasan Morsi.

Antara yang ucapkan berkali-kali termasuk matlamat himpunan tersebut iaitu;

1) Kembalikan Presiden Mesir Dr.Mursi ke Istana Ittihadiyah tanpa apa-apa syarat bagi beliau menjalankan tugas-tugas sebagai ketua negara.

2) Segera mengadakan Pilihanraya Dewan Rakyat dan kembalikan Dewan Senat yang dibubarkan.

3) Perlu menjayakan "Jawatankuasa Kebangsaan" yang diperintahkan oleh Presiden Mursi sebelum ini yang disertai oleh semua pihak dan lapisan masyarakat.

4) Sesiapa yang tidak berpuas hati untuk menghukum Presiden Mursi atau menyingkirkannya mestilah dilakukan mengikut perlembagaan."

"Sedia berhari raya di sini"
Dalam pada itu, tokoh Ikhwanul Muslimin Dr.Sofwat Hijazi turut menyampaikan pidatonya di pentas Raba'ah.

"Mereka bertanya kita apa yang anda akan lakukan jika askar tidak mengendahkan tuntutan kamu?

"Kita menjawab, kami akan kekal berterusan di sini dan dataran-dataran sehingga kembali Presiden Mursi atau kami bersedia untuk mati.

"Kami akan bersiap untuk menyambut hari raya di sini. Sebahagian muslimat semalam datang mencadangkan untuk membawa ketuhar bagi menyiapkan biskut dan kuih hari raya di dataran.

"Kami akan terus menekan dengan cara yang aman. Kami sama sekali tidak akan mengangkat senjata berhadapan dengan tentera sekalipun kami dibunuh. Kita akan menjadi hamba Allah yang sedia dibunuh, bukan hamba-Nya yang membunuh.

"Kami akan gunakan semaksimum mungkin cara untuk menekan. Kami juga mampu untuk mengadakan mogok dan mengepung pejabat-pejabat kerajaan akan tetapi kami tidak akan melakukannya kerana ia mengganggu kehidupan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Jutaan para penyokong Dr.Mursi yang berkumpul di dataran Raba'ah malam tadi telah mengadakan perarakan ke Istana Ittihadiyah dan Kementerian Pertahanan.

Kemaraan mereka ke Istana Ittihadiyah bagaimanapun dihalang oleh sekatan tentera yang menghalang jalan dengan kawat berduri dan meletakkan kenderaan perisai di jalanraya.

Pentas Raba'ah semalam juga turut mengumumkan jumlah kehadiran penyokong Morsi sehingga kini iaitu 3 juta di Dataran Rabaah Adawiyyah, Dataran Nahdhah di hadapan Universiti Kaherah (2 juta), Giza (350 ribu), Ramsis (500 ribu), Istana Ittihadiyyah (150 ribu), Qina (100 ribu), Aswan (30 ribu), puluhan ribu di Fayoum, ratusan ribu di Asyut serta jutaan lagi di Iskandariyyah dan Almenia. - HD

0 comments:

About